
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah apabila mencecah RM426.7 bilion pada tahun lalu, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 8,390 projek diluluskan dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata pelaburan domestik kekal kukuh dengan jumlah RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.
“Pada masa sama, pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia.
“Pencapaian ini adalah hasil ikhtiar bersepadu seluruh jentera Kerajaan MADANI dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiat usaha memastikan setiap pelaburan bukan sekadar diluluskan tetapi direalisasikan serta diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kemakmuran rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, nilai pelaburan yang direkodkan itu bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia serta agenda pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Kita akan terus bekerja keras memastikan seluruh rakyat merasai nikmatnya,” katanya.





