
SERIAN – Hak harta intelek sememangnya harus dipelihara dan dilindungi dengan baik.
Residen Serian Caroline Cleophas Joseph berkata hak harta intelek sangat penting dalam memacu inovasi dan kreativiti.
“Harta intelek merupakan hasil ciptaan minda seseorang sama ada bentuk reka cipta, simbol ataupun nama,” ujar Caroline.
Bagaimanapun, kata Caroline, harta intelek tidak dilihat sebagai hak dilindungi semata-mata tetapi harta yang boleh diperdagangkan dan dilesenkan dengan nilai yang tinggi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Seminar Pemerkasaan Harta Intelek 2024 Bahagian Serian bertempat di Serian Digital Hub pada Isnin.
Sementara itu, Caroline berkata kerajaan Sarawak melalui agensi Sarawak Multimedia Authority (SMA) bertanggungjawab mengurus perlindungan hak harta intelek di Sarawak.
“Melalui SMA, segala hak harta intelek di Sarawak dilindungi dalam usaha memacu pertumbuhan sosioekonomi Sarawak,” kata beliau.



