
MUKAH – Suasana Ramadan di sekitar Dataran Pehin Setia Raja bertambah meriah apabila lebih 1,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai sempena Program Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas, pada Selasa.
Program yang berlangsung pada jam 4.30 petang itu merupakan anjuran bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian, DUN Balingian serta Saberkas Cawangan Tellian dan Balingian sebagai inisiatif menyemarakkan bulan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan kebersamaan komuniti.
Majlis tersebut dihadiri dan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi yang turut bersama-sama mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat.

Turut hadir, Residen Bahagian Mukah, Datuk Kueh Lei Poh dan wakil Pejabat Daerah Mukah, Nolin Gendang.
Antara agensi yang terlibat menjayakan program berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia serta Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Program berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama antara pelbagai agensi dalam mendekati komuniti setempat sepanjang bulan Ramadan.






