KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meraikan tujuh pemuda yang bertindak menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil daripada lemas dalam satu kemalangan di Tasik Biru, pada majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada tujuh pemuda berkenaan serta berkongsi gambar pertemuan beliau bersama mereka.
Anwar berkata, tindakan berani yang ditunjukkan oleh tujuh pemuda itu bukan sahaja menyelamatkan nyawa sebuah keluarga, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan rakyat Malaysia dalam menghadapi saat getir.
“Saya telah mengundang tujuh pemuda yang bertindak pantas dan penuh keberanian menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam nahas di Kundang, baru-baru ini, untuk berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana, hari ini (malam tadi).
“Sesungguhnya, tujuh pemuda ini bukan saja wira kepada keluarga yang diselamatkan, (mereka juga) lambang kemuliaan akhlak, keinsanan dan semangat solidariti rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Pada Selasa lalu, media melaporkan seorang ibu bersama dua anak kecil berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di Kundang.
Namun, hasil tindakan pantas tujuh pemuda yang berada berhampiran lokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan daripada lemas.
Mengulas perkara itu, Perdana Menteri berkata, kesanggupan pemuda berkenaan mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa orang lain merupakan manifestasi nilai kemanusiaan yang tinggi serta semangat ihsan yang wajar dipuji.
Beliau berkata, sikap sedemikian perlu dihargai dan dijadikan contoh kepada seluruh lapisan masyarakat.
Pada majlis berkenaan, Anwar turut menyampaikan sagu hati sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan jasa yang dicurahkan oleh mereka.
Tujuh pemuda itu ialah Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Hariz Ismat Ruzaiizan, 26; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23; serta Adam Syah Reza Hendri, 19.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ketika ditemui pemberita pada majlis sama menyifatkan tindakan tujuh pemuda berkenaan sebagai satu contoh keberanian yang wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat.
Beliau berkata, keberanian mereka lebih bermakna kerana kesemua pemuda terbabit berasal dari tiga kampung berbeza di sekitar kawasan Tasik Biru dan tidak saling mengenali sebelum kejadian itu berlaku.
“Apabila ternampak kejadian itu, terdetik dalam hati mereka untuk bertarung nyawa dan menyelamatkan (mangsa). Saya rasa ia satu tindakan sangat berani.
“Jadi, saya harap (tindakan itu) dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus tolong-menolong sesama kita,” katanya.







