
PUTRAJAYA – Jumlah ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia bagi tahun lalu merekodkan peningkatan ketara sebanyak 11.2 peratus kepada 42.19 juta orang berbanding 37.96 juta pada 2024.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, statistik yang dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini menunjukkan prestasi Malaysia mengatasi kadar pertumbuhan pelancongan di peringkat antarabangsa.
“Kadar peningkatan 11.2 peratus ini jauh mengatasi kadar purata global, iaitu empat peratus peningkatan dan kadar peningkatan bagi pelawat-pelawat di Asia Pasifik, iaitu enam peratus.
“Ini semestinya mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai antara satu destinasi utama yang terus diyakini pelawat antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran 47 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran hasil pelancongan mencecah RM329 bilion bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memaklumkan bahawa lebih RM700 juta diperuntukkan bagi tujuan promosi serta penganjuran acara, selain tambahan RM50 juta bagi menyokong penggiat seni dan warisan sepanjang tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan industri media, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Dana Inovasi Media fasa pertama yang dibuka dari 1 hingga 14 Januari lalu menerima respons positif daripada organisasi media tempatan.
“Sebanyak 50 permohonan diterima dan menunjukkan tahap keyakinan dan kesediaan pemain industri untuk bergerak ke arah transformasi yang lebih progresif.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 34 organisasi media sudah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM10.3 juta. Keputusan ini mencerminkan komitmen kerajaan memastikan dana disalur secara berimpak tinggi, telus dan teknologi kandungan dan pembangunan bakat,” katanya.
Beliau menambah, fasa kedua yang berlangsung antara 9 hingga 22 Februari lalu menarik penyertaan 19 organisasi media, manakala fasa ketiga akan dibuka mulai Ahad ini sehingga 14 Mac depan.
“Perkembangan ini memperlihat kesungguhan pemain industri untuk terus berinovasi serta menyesuaikan model perniagaan mereka dengan keperluan dan realiti perniagaan semasa,” katanya.




