
IPOH – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi meneruskan Program Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa tahun ini sebagai komitmen berterusan dalam memperkasa kebajikan mahasiswa anak Perak.
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu bakal memanfaatkan mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Menurutnya, kadar Bantuan Sara Diri ditetapkan mengikut peringkat pengajian iaitu RM500 bagi Diploma, RM700 (Ijazah Sarjana Muda), RM800 (Sarjana) dan RM1,000 bagi pelajar PhD.
“Kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Kecemasan Mahasiswa bagi membantu pelajar yang berdepan situasi luar jangka seperti kemalangan, masalah kesihatan serius, kecurian atau musibah lain.
“Bantuan ini disalurkan berdasarkan merit kes dengan kadar maksimum sehingga RM5,000, tertakluk kepada pertimbangan jawatankuasa kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan dan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak 2026 yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng serta Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan.
Dalam pada itu, Saarani memaklumkan kerajaan negeri turut memperuntukkan RM750,000 bagi Bantuan Baucar Buku yang dijangka memanfaatkan 5,000 mahasiswa anak Perak.
Jelasnya, bantuan bernilai RM150 seorang itu bertujuan meringankan beban kos pembelian buku dan bahan rujukan pengajian.
Permohonan bagi Bantuan Sara Diri dan Baucar Buku dibuka mulai 2 Mac hingga 30 April, manakala Bantuan Kecemasan Mahasiswa boleh dipohon sehingga 31 Oktober 2026 menerusi laman sesawang rasmi www.eheyns.com.my.
“Pelaksanaan berterusan bantuan ini mencerminkan kedudukan kewangan negeri yang stabil serta komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada mahasiswa.
“Ia sekali gus membolehkan anak-anak Perak menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian dan membina masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.







