KUALA LUMPUR – Isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mesti disiasat berlandaskan undang-undang, bukannya digerakkan berdasarkan sentimen politik atau persepsi semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses itu perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan dibuat, terutama membabitkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat dan berkorban tenaga dalam melaksanakan amanah negara.
Katanya, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman sebelum siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus dan tidak seharusnya masyarakat terburu-buru menghukum mana-mana individu atau institusi sebelum proses siasatan lengkap dilaksanakan mengikut lunas perundangan.
“Jangan beri gambaran seolah-olah semuanya buruk. Ini yang saya nak tekankan dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang. Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah, proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM.
“Bagi saya, saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, yang berhempas pulas, terus dihukum sebelum siasat.
“Saya tidak pilih jalan itu. Siasat, kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, ikut hukum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan program Ihya Ramadan, pada Khamis.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, sebarang tindakan tidak boleh dipengaruhi rasa tidak senang, tekanan politik atau kepentingan kelompok tertentu.
“Jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi, atau kerana ada dorongan politik, atau kita bertindak kerana orang itu pernah mengambil tindakan kepada kelompok yang kita kaitkan. Kita harus teliti,” katanya.
Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya mendedahkan Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam dalam sidang medianya menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Kerajaan kemudian menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan jawatan kuasa itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan perdana menteri.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham tersebut mengesahkan siasatan sudah pun bermula.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan berintegriti.







