IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru semua pihak memperhebat pendidikan kekeluargaan sebagai landasan utama pembinaan negara bersempena pelancaran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN), hari ini.
Beliau menegaskan, pencapaian ekonomi semasa tidak wajar mengabaikan peranan institusi keluarga yang menjadi teras pembentukan nilai, akhlak serta perpaduan dalam masyarakat.
Menurutnya, penerapan nilai murni harus bermula di rumah menerusi asuhan awal, dengan ibu bapa bukan sekadar mencurahkan kasih sayang, malah perlu menunjukkan teladan terbaik kepada anak-anak.
“Sebab itu, saya menyokong dan memberikan segala dorongan kepada menteri dan kementerian untuk fokus dalam membangunkan keluarga yang sihat dan murni dan DKKN ini satu peringatan kepada kita.
“Dalam kita sibuk mencari dana dan membina kekuatan negara dengan segala kecanggihan, sistem pendidikan dan kemudahan baharu, jangan kita remehkan atau tinggalkan asas pendidikan keluarga serta kasih sayang sebagai pangkal dan asas,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran DKKN dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR), di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar turut menekankan bahawa kestabilan dan tadbir urus yang berintegriti merupakan prasyarat penting untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan.
Beliau berkata, Malaysia berupaya mencapai potensi sepenuhnya sekiranya gejala rasuah dan penyelewengan harta rakyat dibanteras secara menyeluruh.
“Kita boleh bangkit. Malaysia ini mempunyai potensi yang sangat baik. Di ASEAN ini, lihat potensi ekonomi Malaysia catat antara terbaik dan ringgit prestasinya terbaik di seluruh Asia.
“Jadi, sebab itu kita harus mempertahankan (prestasi), jangan kita terbawa-bawa dengan masalah, bergaduh yang memecah belahkan antara kaum,” katanya.
Pada majlis sama, beliau merasmikan DKKN yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ketahanan institusi keluarga agar terus mampan dan terlindung dalam mendepani cabaran mendatang.
Dasar berkenaan akan dilaksanakan menerusi lima teras strategik, termasuk usaha mengangkat martabat institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasa perancangan keluarga serta meningkatkan kualiti dan keupayaan keibubapaan.


