
LIMBANG – Padah terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, seorang lelaki tempatan ditahan polis bersama syabu seberat 352.18 gram bernilai kira-kira RM35,200 dalam satu serbuan di Kampung Belading, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, suspek berusia 44 tahun itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang kira-kira jam 9.50 pagi.
Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan aktiviti mengedar dan menjual dadah di sekitar kawasan Limbang.
“Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan mampu menampung penggunaan seramai 1,760 penagih,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Parum berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk terus memperhebat usaha membanteras musuh nombor satu negara itu hingga ke akar umbi.
“Orang ramai diingatkan supaya menjauhi sebarang aktiviti berkaitan dadah dan diminta menyalurkan maklumat jenayah kepada pihak berkuasa.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466, hotline 24 jam JSJN Sarawak di 017-5929211 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.





