
LAHAD DATU – Operasi khas Polis Daerah Lahad Datu berjaya menahan seorang lelaki dan merampas 103.76 gram syabu dianggarkan bernilai RM11,413.60, di Jeti Awam di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, lelaki warga tempatan berumur 26 tahun berkenaan ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi menerusi selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu kemudian melakukan pemeriksaan ke atas suspek dan menemui tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Menurut Dzulbaharin, polis turut menyita sebuah telefon bimbit, bot dan enjin sangkut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah selain terus mengesan rangkaian serta pembekal dadah daerah ini.




