
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia, sambil menegaskan penentuan sempadan antara kedua-dua negara dibuat berlandaskan perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang sah.
Anwar berkata, penetapan sempadan Malaysia–Indonesia, termasuk membabitkan tiga kampung di Nunukan, Kalimantan Utara, bukan dibuat berdasarkan pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung rugi seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya berpaksikan kerangka undang-undang antarabangsa yang dipersetujui sejak era penjajahan.
“Penentuan sempadan ini tidak dibuat berdasarkan pampasan atau untung rugi sebaliknya berpandukan konvensyen dan perjanjian yang sah,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika Sesi Penerangan Khas Parlimen mengenai Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat hari ini bagi memperbetulkan kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, asas penentuan sempadan darat antarabangsa Malaysia dengan Indonesia adalah berdasarkan dua konvensyen dan satu perjanjian utama, iaitu Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda 1891 yang meliputi keseluruhan Sabah dan Sarawak.
“Bagi Sabah, ia berdasarkan Perjanjian Persempadanan antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda 1915 manakala bagi sebahagian kecil sektor di Sarawak, ia membabitkan Konvensyen Persempadanan yang ditandatangani di Hague pada 26 Mac 1928,” jelas beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan mengelirukan.
Katanya, penentuan jajaran sempadan di kawasan Outstanding Boundary Problem (OPB) Sungai Sinapad dan Sungai Sesai dibuat berdasarkan Konvensyen 1891 dan Perjanjian 1915.
“Prinsip utama ialah berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapad dan Sungai Sesai pada garis latitud 4 darjah 20 minit utara.
“Hasil pengukuran bersama mendapati muara Sungai Sinapad berada di utara garis tersebut, menjadikan semua lembangan sungai yang bermuara di kawasan itu sebagai milik Malaysia,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kawasan OPB sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara kerana masih dalam proses rundingan dan penentuan sempadan sejak sekian lama.
Menurut beliau, keseluruhan sempadan darat antarabangsa Malaysia–Indonesia dianggarkan sepanjang kira-kira 2,064 kilometer, melibatkan sektor Sabah–Kalimantan Utara dan Sarawak–Kalimantan Barat.
Bagi OPB Pulau Sebatik, Anwar berkata, kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula yang dijalankan pada 2019 mendapati Malaysia memperoleh tambahan kira-kira 50 hektar.
Sementara itu, bagi OPB Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, pengukuran bersama yang diselesaikan antara 2022 hingga 2023 mendapati kawasan seluas 5,987 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia, manakala Malaysia memperoleh tambahan kira-kira 780 hektar.
Katanya, proses rundingan dan pengukuran kawasan berkenaan telah bermula sejak 1977 dan hanya dapat diselesaikan secara berperingkat selepas hampir lima dekad.
Anwar turut menegaskan bahawa sebahagian daripada tiga kampung di kawasan Nunukan sememangnya termasuk dalam wilayah Sabah berdasarkan perjanjian sedia ada.
Terdahulu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut menjelaskan bahawa laporan media yang mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan adalah tidak tepat.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengulas isu sensitif berkaitan sempadan negara.
“Masih ada beberapa kawasan yang belum dimuktamadkan. Jangan jadikan isu ini bahan politik sempit atau melemparkan tuduhan tidak berasas,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia perlu terus dipelihara atas asas saling menghormati serta kerjasama erat antara kedua-dua negara.






