
SARATOK – Seramai 95 individu diperiksa manakala 27 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, operasi yang bermula jam 3 petang hingga 10.30 malam itu tertumpu di beberapa lokasi ‘panas’ sekitar Saratok, Kabong dan Roban.
Menurutnya, operasi itu bertujuan menurunkan kadar jenayah indeks khususnya kes kecurian kenderaan dan harta benda, selain memastikan kehadiran polis (omnipresence) dirasai oleh masyarakat setempat.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 87 kenderaan telah diperiksa menerusi sekatan jalan raya (SJR) dan pemeriksaan mengejut (snap check).
“Ia melibatkan pemeriksaan terhadap 33 buah van dan kenderaan pacuan empat roda, kereta (32), motosikal (15) serta lori dan bas (7).
“Hasil pemeriksaan turut merekodkan seramai 95 individu diperiksa yang terdiri daripada 60 lelaki dan 35 wanita,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mathew berkata, sebanyak 27 saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, terutamanya membabitkan penunggang motosikal.
Operasi yang diketuai oleh Inspektor Wealy James itu disertai kekuatan seramai 15 pegawai dan anggota dari pelbagai bahagian termasuk Balai Polis Saratok dan Balai Polis Kabong.
“Pihak polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari masa ke masa bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” ujarnya.



