
PELAKSANAAN subsidi bersasar petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka dapat mengurangkan ketirisan subsidi serta menjana penjimatan fiskal antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Bagaimanapun, MOF memaklumkan unjuran penjimatan itu tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.
“Penjimatan ini bukan hasil pengurangan perlindungan kepada rakyat sebaliknya hasil daripada penyasaran subsidi yang lebih tepat kepada golongan yang layak,” jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen.
MOF menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN–Bera) mengenai jumlah subsidi bagi petrol RON95 selepas rasionalisasi dilaksanakan pada penghujung September serta jumlah penjimatan yang diperoleh hasil rasionalisasi bahan api berkenaan.
Selain itu, kementerian berkenaan memaklumkan, penentuan harga petrol RON95 masih dibuat berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM) yang mengambil kira harga minyak mentah dunia, kos penapisan, kos pengedaran dan kadar pertukaran mata wang.
MOF menjelaskan, dalam konteks rasionalisasi subsidi, pelaksanaan BUDI95 tidak mengubah mekanisme APM, sebaliknya menambah baik kaedah pengagihan subsidi yang terhasil daripada mekanisme tersebut.
Pendekatan itu, menurut MOF, membolehkan kerajaan mengawal pertumbuhan perbelanjaan subsidi dengan lebih berkesan, khususnya dalam keadaan harga minyak mentah dunia kembali meningkat.




