
LAHAD DATU – Permohonan 1,300 ekar tanah untuk lot penempatan generasi kedua peneroka Felda masing-masing 800 ekar di Felda Sahabat dan 500 ekar di Felda Umas Kalabakan telah dimajukan kepada pihak pengurusan Felda.
Demikian dinyatakan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan kerana keperluan generasi itu untuk membina rumah.
“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor telah menyokong permohonan penempatan generasi kedua ini dan suratnya telah saya sampaikan kepada Ketua Peneroka untuk dipanjangkan kepada pihak pengurusan Felda.
“Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan dan pengurusan Felda dapat memberi ruang kepada anak-anak peneroka agar memiliki rumah sendiri,” katanya kepada media selepas melakukan kunjungan kepada peneroka-peneroka di Felda Sahabat, pada Rabu.
Menurut Hakim, hasil kunjungannya terhadap peneroka Felda Sahabat mendapati terdapat sebuah rumah telah padat diduduki sehingga 30 orang ahli keluarga.
Justeru katanya, keperluan tanah untuk generasi kedua Felda perlu diberi perhatian dan tindakan segera demi penempatan yang lebih selesa.



