
PERTUKARAN tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan berlaku meskipun Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tidak bertanding dalam pemilihan parti DAP akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kon Yew masih lagi memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga akhir penggal.
Menurutnya, ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri yang menghadkan jawatan berkenaan maksimum selama dua penggal.
“Saya menghormati keputusan dan pendirian beliau demi pembaharuan dalam kepimpinan DAP Pulau Pinang selepas menerajui jawatankuasa negeri selama 25 tahun.
“Sebelum pengumuman hari ini, beliau turut berbincang dengan saya berkenaan hasratnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada 22 September ini.
Katanya, keputusan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu dalam melaksanakan rancangan penggantian kepimpinan negeri.
Kon Yeow menjelaskan, beliau menerima sepucuk surat bertarikh 27 Ogos lalu daripada DAP Pusat yang memaklumkan bahawa dirinya telah dicalonkan untuk bertanding pada pemilihan itu.
Bagaimanapun selepas membuat pertimbangan teliti, beliau mengambil keputusan menolak pencalonan dirinya untuk bertanding pada kali ini.






