MELAKA – Seramai 70 penunggang motosikal dalam kalangan pelajar di enam buah sekolah menengah di sini, didapati tidak mempunyai lesen memandu dalam pemeriksaan yang dijalankan sempena Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya bermula Julai hingga hari ini, Rabu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff memaklumkam 22 orang pelajar yang menunggang motosikal terdiri dari bawah umur dan hasil pemeriksaan yang dilakukan didapati sebanyak 371 buah kenderaan dikenalpasti sepanjang program itu berlangsung.
Tambah beliau, sebanyak 67 buah motosikal diperiksa didapati tidak mempamerkan pelekat ‘L’ atau ‘P’, 37 buah motor yang tidak mempunyai lesen kenderaan motor dan insurans telah tamat tempoh serta 14 orang yang tidak memakai topi keledar.
“Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, pada tahun ini sahaja sebanyak 14 kemalangan termasuk empat kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah.
“Justeru, Program Advokasi Kemalangan Jalan Raya melibatkan pelajar sekolah ini dianjurkan untuk memupuk budaya mematuhi peraturan jalan raya di usia muda, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan itu menerusi kaedah pendidikan dan kesedaran awal,” katanya.
Menurut Firdaus, program yang disasar telah dilaksanakan di 15 buah sekolah menengah di sekitar Melaka dan setakat ini telah berjaya dilaksanakan di enam buah sekolah termasuk Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, SMK Telok Mas, SMK Hang Kasturi dan SMK St David
Tegasnya, berdasarkan maklum balas daripada pihak sekolah, program itu telah memberi kesan positif dalam kalangan pelajar yang terlibat sekali gus memupuk kesedaran mereka ketika berada jalan raya.
“Kita dimaklumkan kalau sebelum ini, terdapat pelajar yang tidak mempunyai lesen dan dinasihatkan pihak sekolah untuk mengambilnya namun tidak diambil berat, tetapi apabila program itu dilaksanakan di sekolah, kesedaran pelajar tersebut meningkat untuk mengambil lesen.
“Program pada tahun ini bermula agak lewat, namun saya percaya sasaran yang diletakkan untuk dilaksanakan di 15 buah sekolah di sekitar Melaka akan tercapai sekali gus memberi impak positif dalam kalangan pelajar, khususnya meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya,” katanya.




