
KINABATANGAN – Proses Hari Pengundian Awal hari ini menyaksikan pengundi polis dan pasangan menggunakan jari kelingking kiri untuk celupan dakwat kekal, berikutan kesan dakwat daripada PRN Sabah lalu masih ada pada jari telunjuk.
Difahamkan, kaedah alternatif tersebut dibenarkan selagi memenuhi garis panduan yang ditetapkan.
Seramai 189 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag ini.
Proses pengundian berlangsung bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan ini hanya membabitkan satu saluran.

Pengundi pertama, Koperal Ahmad Shalihin Rosli yang bersedia seawal 7 pagi selesai menunaikan tanggungjawabnya pukul 8.04 minit pagi tadi sebaik pusat pengundi awal dibuka.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setakat 9 pagi tadi, seramai 38 orang atau kira-kira 20.1 peratus pengundi telah mengundi.
“Saya amat berharap semua pengundi mengambil kesempatan ini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dan melaksanakan proses demokrasi ini.
“Dalam PRN baru-baru ini, peratusan keluar mengundi lebih kurang 65 peratus, jadi kita harap kita boleh kekal sekurang-kurangnya dengan peratusan tersebut walaupun kita harap lebih tinggi,” katanya kepada media selepas meninjau Hari Pengundian Awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, pada Selasa.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Sementara di DUN Lamag, pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).





