
PUTRAJAYA – Kementerian Luar masih belum menerima sebarang maklumat berhubung warga Malaysia yang terjejas akibat kejadian Ribut Tropika Yagi di Luzon, Filipina.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di Manila, pihaknya memantau dengan rapi keadaan itu.
Wisma Putra berkata bahawa ribut itu mendarat di bandar timur Casiguran, Wilayah Aurora, pada 2 September.
“Sehingga 3 Sept, pusat ribut telah berpindah ke perairan pantai di luar bandar utara Laoag di Wilayah Ilocos.
Ribut itu telah mengekalkan angin 75 km/j dan dijangka bergerak ke barat laut di atas Laut China Selatan di hari-hari mendatang.
“Sehingga 4 petang waktu tempatan pada 3 Sept, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas dengan ribut tropika itu,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Wisma Putra juga menggesa rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas supaya terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini dan panduan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Mereka yang masih belum mendaftar dan mengemas kini lokasi serta butiran mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian dengan segera di https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya.
Justeru, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila di Salcedo Village, 107 Tordesillas, Makati, 1227 Metro Manila, Filipina, nombor telefon: +63 8662 8200, +63 917 864 0761 (kecemasan) atau emel: mwmanila@kln.gov.my infomanila@kln.gov.my.






