
MARUDI – Empat buah rumah panjang di kawasan Tanjung Upar kini menikmati kemudahan bekalan elektrik yang lebih stabil menerusi pelaksanaan Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) yang menelan belanja RM7.1 juta.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, empat rumah panjang terlibat ialah Rumah Vincent, Rumah Jipun, Rumah Philip dan Rumah Muggang.
Menurutnya, kejayaan penyambungan bekalan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa infrastruktur asas di kawasan pedalaman walaupun berdepan kekangan logistik.
“Projek bernilai RM7.1 juta ini berjaya dilaksanakan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dari segi geografi.
“Ini mencerminkan kesungguhan kerajaan Sarawak memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, kemudahan itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah diharap membuka peluang ekonomi baharu.
Jelas beliau, kerajaan akan terus menambah baik kemudahan lain termasuk bekalan air bersih, jalan perhubungan dan akses digital demi meningkatkan kualiti hidup rakyat luar bandar.
“Kerajaan sentiasa menilai keperluan setempat dan merancang penambahbaikan dari semasa ke semasa agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara berterusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan projek berkenaan.
Foto: Facebook Gerawat Gala







