JOHOR BAHRU – Isu pencemaran bau yang menimpa tiga buah kawasan perumahan di sekitar Tebrau di sini, disyaki berpunca daripada sisa pembuangan berunsur bahan kimia di sungai berhampiran.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah berkata, ini berikutan kejadian seumpamanya pernah berlaku sehingga menjejaskan kebersihan dan mengancam keselamatan sungai Tebrau.
“Buat sementara ini, saya percaya ia mungkin faktor oleh kerja pembuangan sisa toksik atau sisa industri secara haram ke sungai Tebrau.
“Aktiviti ini bukan kali pertama terjadi, namun perkara sebegini berlaku dah beberapa kali. Tiga tahun lepas, Kampung Tawakal di bawah Parlimen Tebrau juga menerima kesan yang sama serta kejadian pada 2019 di Sungai Kim Kim,” katanya kepada The Malaysia Press.
Terdahulu, beliau turun ke lokasi kejadian bagi melihat dan mengenal pasti permasalahan sebenar.
Justeru, beliau menggesa kerajaan serta pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas termasuklah langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.
“Kerajaan telah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 2024 dengan meningkatkan jumlah denda sehingga RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.
“Isu pembuangan haram tidak sepatutnya berlaku dan pihak kerajaan tidak akan berkompromi keselamatan rakyat.
“Saya mengesa kerajaan dan pihak berkuasa untuk mencari pesalah dan mengambil tindakan setegasnya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, penduduk di Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa di sini, mendakwa terhidu bau seakan kimia sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka mengalami pening kepala.
Bagaimanapun, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan I Khairul Azhar Abd Aziz berkata, operasi ketika ini masih berjalan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurutnya, ia termasuklah tindakan mengambil bacaan udara menggunakan pengesan gas oleh unit Hazmat (Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya).







