
LAWAS – Keadaan banjir di beberapa lokasi berisiko sekitar Trusan dan Merapok dilaporkan masih terkawal meskipun berlaku perubahan trend paras air sungai susulan cuaca tidak menentu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lawas, Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata, pemantauan berkala telah dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bermula jam 7 malam hingga 10 malam, pada Rabu.
Menurutnya, lokasi tumpuan rondaan membabitkan Kampung Batu 4 Jalan Trusan, Kampung Siang-Siang, Sekolah Kebangsaan (SK) Siang-Siang, SK Ulu Merapok, Kampung Bukit Puan Ulu Merapok, Kampung Tanah Sibagol serta Sungai Ulu Merapok.
“Hasil pemantauan mendapati paras air di kesemua lokasi berkenaan masih berada pada tahap terkawal.
“Terdapat beberapa kawasan merekodkan trend air surut, manakala ada juga yang menunjukkan peningkatan secara perlahan namun tidak membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan dan semua laluan utama masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Bagaimanapun, Maradona menasihatkan penduduk kampung agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap sebarang perubahan cuaca serta kenaikan paras air di kediaman masing-masing.
“Orang ramai diminta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden kecemasan.
“Sebarang aduan boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lawas di talian 085-262073 atau talian kecemasan MERS 999,” ujarnya.





