
SEMPORNA – Seorang lelaki warga asing yang dilaporkan hilang selepas terbabit pertembungan bot penumpang pada Jumaat di perairan Seafest, di sini, ditemukan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Air Semporna, PBK I Mohd Akhimullah Adan berkata, mayat Rosman Kandau, 24, ditemukan orang awam kira-kira pukul 8.37 pagi, pada Ahad.
“Pagi tadi SAR hari ketiga diteruskan pukul 6.30 pagi dengan radius lokasi pencarian diteperluaskan.
“Pasukan Bomba kemudian menerima laporan daripada PD Semporna bahawa mangsa ditemukan dan pasukan kemudiannya digerakkan ke lokasi untuk mengambil dan membawa mangsa ke jeti Marin,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Menurut Akhimullah, operasi ditamatkan pukul 9.44 pagi.
Jumaat lepas, perlanggaran dua bot menyebabkan Rosman hilang manakala enam mangsa lain dari kedua-dua bot selamat.







