KUANTAN – Menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu minggu depan, badan bukan kerajaan (NGO) Al-Iqtan Care mengambil inisiatif menganjurkan program gunting rambut percuma.
Berlangsung di dua lokasi, program pertama di FELDA Bukit Sagu sejak pagi tadi, manakala selepas solat Jumaat pula, program sama diadakan di pekarangan surau perumahan Bukit Rangin Perdana 2, dekat sini.
Kira-kira 100 kanak-kanak berusia antara 6 hingga 13 tahun mendapat manfaat menerusi program berkenaan.
Pengerusi Al-Itqan Care, Muhammad Alif Zainuddin berkata, inisiatif itu mendapat kerjasama dan sumbangan daripada ahli NGO terbabit.
“Kita melihat kepada keperluan dalam pemilihan lokasi penganjuran program. Macam sebelah pagi kita mulakan di FELDA Bukit Sagu dan petang pula kita singgah di sini.
“Untuk program ini pun kita berhubung dengan pemimpin setempat bagi mengenal pasti golongan sasar dan memerlukan khidmat seperti gunting rambut untuk anak-anak mereka,” katanya.
![]()
Program itu dibantu tukang gunting mahir daripada Hudbaba Academy dari Indera Sempurna, di sini.
Sementara itu, seorang suri rumah, Norsazidah Mohamed, 42, menyambut baik usaha dilakukan Al-Itqan Care.
“Macam saya ada tiga anak yang bersekolah, seorang itu perempuan jadi tak perlulah gunting rambut.
“Tapi dua orang lagi, memang tiap kali nak buka sekolah, kena cari juga tempat untuk gunting rambut, biasanya dalam RM45 kami belanjakan untuk mereka.
“Jadi, bila ada usaha dilakukan Al-Itqan ini, boleh bantu ringankan sikit beban… gunting rambut lagi, belum persiapan lain, jadi memang ringankan beban kami sekeluarga,” katanya.






