
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya bagi membantu siasatan berhubung projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia.
Selain itu, SPRM turut menahan sepasang suami isteri yang disyaki bersubahat dalam cubaan melarikan wang tunai berjumlah RM2.4 juta, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes siasatan berkenaan.
Penahanan tersebut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Terdahulu, kenderaan yang membawa Muhammad Hafizuddeain dan isterinya dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat SPRM pada kira-kira jam 3 petang.
“Sehingga jam 7 petang kita menahan bekas Panglima Tentera Darat dan kedua-dua isterinya. Yang ketiga semalam kita ada menahan seorang lelaki Melayu bersama isterinya disyaki bersubahat melarikan RM2.4 juta,” katanya seperti dipetik laporan Buletin TV3.
Menurut beliau, SPRM akan memohon perintah reman terhadap pegawai kanan tentera berkenaan bersama dua isterinya pada esok bagi membantu siasatan lanjut.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa bekas Panglima Tentera Darat tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital.
Pada 23 Disember lalu, SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang melibatkan Tentera Darat Malaysia sejak tahun 2023.
Seterusnya, pada 29 Disember lalu, Azam Baki memaklumkan bahawa pihaknya telah menyita enam akaun bank milik pegawai berkenaan dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dua hari sebelumnya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap kes yang dilaporkan selesai.


