
LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh persahabatan dan hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu, merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, diplomasi serta kerjasama pelbagai sektor.
Berucap pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia di Turkiye, Anwar berkata, lawatan tersebut mempunyai makna tersendiri berdasarkan hubungan peribadi dan diplomatik yang terjalin rapat dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Kunjungan ini memang saya anggap penting. Presiden Erdogan bergurau, kalau saya tidak datang bulan Januari, dia tidak mahu berkawan,” katanya lapor BH.
Menurut Perdana Menteri, meskipun sebelum ini tiada lawatan rasmi diadakan, beliau pernah mengunjungi Turkiye atas dasar kemanusiaan dan diplomasi, termasuk ketika tragedi gempa bumi serta bagi mendapatkan sokongan negara-negara Islam terhadap isu Palestin, khususnya di Gaza.
Sehubungan itu, beliau berkata lawatan rasmi kali ini membuka ruang kepada pertemuan yang lebih substantif untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, pertemuan ini akan lebih bermakna untuk menjalin persahabatan dua negara, hubungan dagang, pelaburan dan kerjasama diplomatik, selain bidang pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan,” katanya.
Anwar turut mengaitkan kerjasama erat Malaysia dengan Turkiye, khususnya dalam sektor pertahanan, sebagai langkah penjimatan dana negara, termasuk keputusan Malaysia memperoleh kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dari negara tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pembaikan tadbir urus yang dilaksanakan kerajaan telah membolehkan Malaysia memberi tumpuan lebih besar kepada pembangunan rakyat, termasuk memperkukuh peranan diplomasi ekonomi di peringkat antarabangsa.
“Kalau dulu hubungan diplomasi semata-mata, kini duta dan pegawai Kementerian Luar turut gigih mempromosikan perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya.
Hasil daripada pendekatan tersebut, katanya, dapat dilihat melalui peningkatan pelaburan dan perdagangan, selain pencapaian sektor pelancongan negara yang mengatasi beberapa negara jiran ASEAN.
Anwar turut menyentuh pelbagai inisiatif kebajikan rakyat yang dilaksanakan kerajaan, termasuk peruntukan RM2 bilion bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, bantuan kepada penjawat awam, pemberian bantuan pendidikan RM150 kepada setiap pelajar, serta langkah menstabilkan kos sara hidup.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat, khususnya generasi muda, agar terus menyokong agenda reformasi negara yang berlandaskan nilai integriti, ilmu dan akhlak.
“Kita ada pilihan, untuk menjadi yang terbaik atau jatuh kerana rasuah. Komitmen kita adalah memilih yang terbaik untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Anwar mengadakan lawatan rasmi pertama ke Turkiye atas jemputan Presiden Erdogan bermula 6 hingga 8 Januari ini.
Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta beberapa menteri Kabinet, termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di sini pada pukul 7.13 malam waktu tempatan (12.13 pagi waktu Malaysia).
Dari Januari hingga November 2025, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye mencecah RM21.2 bilion (AS$4.92 bilion), sekali gus mengekalkan republik itu sebagai rakan ekonomi penting Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, selain menjadi destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar di rantau berkenaan, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).




