KUANTAN – Polis memindahkan tujuh individu termasuk seorang wanita sarat mengandung dan seorang kanak-kanak selepas terperangkap susulan jambatan runtuh di Sungai Mok, dekat Rompin, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, jambatan menghubungkan Kampung Selendang dan Kampung Sungai Mok itu dilaporkan runtuh jam 8 pagi, sebelum tiga anggota dari Balai Polis Kuala Rompin digerakkan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dan pemindahan mangsa pada jam 2.20 petang.
“Operasi pemindahan membabitkan dua lelaki dewasa, tiga wanita warga emas, seorang ibu mengandung dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Mangsa yang berisiko tinggi dipindahkan terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya, lapor Berita Harian.
Semua mangsa berusia antara 11 hingga 55 tahun dipindahkan untuk menetap di rumah saudara-mara masing-masing.
“Ibu mengandung yang terbabit juga tidak memerlukan rawatan hospital dan telah dihantar terus ke rumah saudara di Kampung Tanam, memandangkan tarikh jangkaan bersalin adalah pada 7 Januari ini,” katanya.
Difahamkan, jambatan kecil menghubungkan kampung itu runtuh pagi semalam.
Terdapat kira-kira 750 penduduk terjejas tetapi memilih untuk menetap di kediaman masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Pejabat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Rompin dalam kenyataan memaklumkan, Jalan Kampung Sungai Mok ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bermula semalam susulan kejadian itu.
“Penutupan membabitkan laluan di Jambatan No 1 dan tiada laluan alternatif disediakan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda serta arahan yang ditetapkan demi keselamatan,” menurut hantaran itu.


