
KANGAR – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dan DUN Perlis berhubung pengumuman kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN di negeri itu.
Ketiga-tiga ADUN berkenaan ialah Mohd Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail dan Saad Seman.
Mereka dalam satu kenyataan media bertarikh 2 Januari 2026 memaklumkan telah membaca kenyataan media Speaker DUN Perlis bertarikh 25 Disember 2025 yang mengumumkan berlakunya tiga kekosongan luar jangka bagi DUN Guar Sanji, Bintong dan Chuping.
“Ketiga-tiga ADUN berkenaan menghormati pandangan Speaker DUN Perlis, namun berpendapat pengumuman tersebut adalah terkhilaf dan dibuat di luar bidang tugas yang diperuntukkan.
” Sehubungan itu, mereka memaklumkan telah memfailkan saman pemula terhadap Speaker DUN Perlis sebagai Defendan Pertama dan Dewan Undangan Negeri Perlis sebagai Defendan Kedua bagi menuntut keadilan daripada mahkamah,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu,, tindakan undang-undang tersebut dibuat demi kebajikan dan kepentingan rakyat di tiga kawasan berkenaan yang didakwa berisiko tidak mempunyai wakil rakyat untuk tempoh sehingga dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya.
Menurut kenyataan sama, mereka turut menuntut agar pengumuman yang dibuat oleh Defendan Pertama diisytiharkan sebagai di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
” Kami juga memohon relif dan atau perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah yang mulia,” ujarnya.
Ketiga-tiga ADUN berkenaan memaklumkan bahawa mereka diwakili oleh Peguam Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.



