
KUCHING – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes curi kabel dalam satu operasi yang dijalankan di Jalan BDC, di sini, pada 18 Disember.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan tangkapan dibuat ketika suspek sedang melakukan kegiatan jenayah berkenaan bersama dua lagi individu yang kini masih bebas dan sedang giat dikesan oleh pihak polis.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai sebanyak 13 rekod jenayah terdahulu. Selain itu, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mendapati dia positif dadah.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Asan Osman di talian 019-867 5550.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berhubung individu mencurigakan dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-24444 atau mana-mana balai polis berhampiran.





