UiTM Sarawak raikan 1,707 graduan berdaya saing pada Konvokesyen ke-103

KOTA SAMARAHAN – Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Sarawak terus komited melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa selaras dengan tuntutan dunia global yang semakin mencabar.

Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, pelbagai langkah strategik dilaksanakan bagi memperkukuh kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi demi memastikan graduan UiTM kekal relevan dalam pasaran kerja.

“UiTM sentiasa berusaha mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran global melalui penglibatan aktif dalam program antarabangsa, termasuk University Intercultural Exchange 2025: Mapping Sarawak to the World di Dublin, Ireland serta Come Discover Bumi Kenyalang 2025 yang menghimpunkan pelajar dari Indonesia, China dan Cambodia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA cawangan Sarawak ke-103 yang berlangsung di Dewan Jubli, di sini pada Selasa.

Dalam ucapannya, Abdul Wahab Aziz turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan seramai 1,707 graduan UiTM Cawangan Sarawak yang diraikan pada istiadat kali ini.

“Alhamdulillah, pada Sidang Pertama ini, seramai 286 graduan daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi menerima penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma”.

“Tahniah kepada para graduan atas usaha, pengorbanan dan ketekunan yang akhirnya membuahkan hasil bermakna,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, para pensyarah serta seluruh warga pentadbiran universiti yang menjadi tunjang kepada kejayaan graduan.

Menurutnya lagi, UiTM Cawangan Sarawak juga giat memperkukuh kebolehpasaran graduan menerusi jalinan strategik bersama industri dan agensi utama termasuk Kerajaan Negeri Sarawak, Konsortium Bumi Consultant and Services serta kerjasama antarabangsa dengan National Formosa University, Taiwan dan Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia.

“Usaha ini telah membuahkan hasil yang membanggakan apabila Kadar Bekerja Graduan UiTM 2024 mencatatkan 92.1 peratus, sekali gus mengangkat martabat UiTM sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UiTM.

Mengakhiri ucapannya, Abdul Wahab Aziz mengingatkan para graduan agar menjadikan kejayaan hari ini sebagai permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih luas dan mencabar.

“Dunia hari ini memerlukan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi berintegriti, berjati diri teguh serta mampu memimpin dan menyumbang kepada masyarakat. Hargailah pengorbanan insan di sekeliling anda dan jadilah alumni yang mengangkat martabat universiti ini dengan penuh rasa bangga dan syukur,” katanya.

Beliau turut menyeru graduan agar terus melangkah berani mengejar kejayaan, sambil mengungkapkan peribahasa Sarawak, “Anang mudah putus pengarap, terus gawa, asil iya sigi manah,” sebagai simbol semangat ketekunan dan daya juang yang berterusan.

Related Posts

1,200 jerami gulung terbakar dalam gudang MADA

JITRA – Sebuah gudang yang menyimpan kira-kira 1,200 jerami gulung dan peralatan elektrik musnah dalam kebakaran di Pertubuhan Peladang Kawasan C2 Kerpan, Kampung Tempayan Pecah di Ayer Hitam, dekat sini…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sindiket minyak masak subsidi dijadikan minyak terpakai terbongkar

ALOR SETAR – Kegiatan seorang lelaki yang disyaki menjadikan minyak masak peket bersubsidi sebagai minyak masak terpakai terbongkar selepas sebuah premis, di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mekanisme ala ISA wajar diwujudkan bagi mempercepat siasatan, tindakan rasuah

Mekanisme ala ISA wajar diwujudkan bagi mempercepat siasatan, tindakan rasuah

e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

Duduk semeja dengan pengamal perundangan, lahirkan undang-undang lebih tegas

Duduk semeja dengan pengamal perundangan, lahirkan undang-undang lebih tegas

Putra sokong usaha kerajaan banteras rasuah, perkukuh integriti dan tatakelola

Putra sokong usaha kerajaan banteras rasuah, perkukuh integriti dan tatakelola

Pelan komprehensif tambah baik kawalan pintu sempadan negara diluluskan Jemaah Menteri

Pelan komprehensif tambah baik kawalan pintu sempadan negara diluluskan Jemaah Menteri

Undang-undang baharu fokus tadbir urus universiti, hak mahasiswa terpelihara

Undang-undang baharu fokus tadbir urus universiti, hak mahasiswa terpelihara