
TAWAU – Residensi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai inisiatif perumahan baharu berkonsep ‘rent to own’ pangsapuri dicadang bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan perumahan bertingkat itu juga selari dengan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyatakan komitmen untuk melaksanakan lebih banyak program perumahan rakyat.
Beliau berkata, kejayaan Program Rumah Mesra SMJ di bawah SMJ 1.0 banyak membantu golongan berpendapatan rendah luar bandar yang mempunyai tanah dan keperluan residensi ini sebagai usaha strategik menjamin akses perumahan mampu milik.
“Tapi ada rakyat-rakyat kita sama ada yang bekerja di bandar atau di pinggir bandar yang perlukan penginapan sekarang ini terpaksa menyewa RM500 hingga RM1000 sebulan.
“Sekarang banyak projek ini dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan, jadi kita harap kerajaan Sabah diterajui GRS melalui SMJ 2.0 boleh memperkenal residensi ini untuk manfaat rakyat.
“Sementara menanti ruang fiskal tambahan kepada negeri, kerajaan negeri boleh memperkenalkan program bank tanah (land bank), mengenal pasti dan mewartakan kawasan-kawasan strategik yang sesuai untuk dijadikan bank tanah bagi pembangunan perumahan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Program Jualan Rahmah MADANI kembali ke Sekolah 2026, di Servay Hypermarket Tawau, pada Sabtu.

Menurut Armizan, dengan jangkaan peningkatan ruang fiskal negeri melalui pemuktamadan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah, pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat dimulakan secara berperingkat bermula tahun hadapan.
“Saya harap supaya kadar pemberian khas 4 peratus itu akan dimuktamadkan sebelum dibentangkan SMJ 2.0 dan sekiranya ada kadar yang baru tersebut, kita akan dapat merencana SMJ 2.0 dengan lebih terperinci,” katanya.
Mengulas berkaitan kerusi DUN Lamag yang kini kosong dan sama ada ia akan ditandingi oleh GRS, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk dibincangkan dalam kepimpinan GRS selain memaklumkan beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi berkaitan keputusan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kejayaan kes tuntutan Sulu yang dicapai hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan hubungan baik sejak awal serta meletakkan komitmen penuh memilih pakar-pakar yang bersesuaian untuk mewakili negara, Alhamdulillah kita bersyukur.
“Inilah komitmen Kerajaan MADANI dan juga kerajaan negeri dimana kita akan mempertahankan hak dan setiap inci kedaulatan tanah air kita ini,” katanya.






