
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah meningkatkan jumlah pemberian Rumah Mesra SMJ kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 40 unit bagi tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ tersebut adalah dikhaskan kepada mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah yang telah berumah tangga dan tidak memiliki rumah.
“Kerajaan akan menambah bilangan kuota Rumah Mesra SMJ dari 40 buah kepada 50 buah bagi setiap DUN pada tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah Tahun 2026 di Dewan DUN Sabah yang ke-17 di sini pada Jumaat.
Jelasnya, kerajaan juga akan melaksanakan kajian bagi memberi Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama kepada golongan muda yang daif.
Walau bagaimanapun, Masidi berkata, kriteria dan syarat-syarat kelayakan akan diteliti dan disediakan oleh pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Tambahnya, pembasmian kemiskinan akan terus menjadi keutamaan kepada Kerajaan Sabah pada tahun hadapan.





