
LINGGA – Daerah Lingga bakal dimeriahkan dengan kehadiran acara dwitahunan yang paling dinanti-nanti oleh komuniti di sekitarnya iaitu Regatta Lingga 2025, yang pastinya akan memeriahkan suasana dengan kehangatan pertandingan lumba perahu.
Pada edisi kali ini, acara ‘Battle of the Titans’ sekali lagi dipilih sebagai acara utama, di mana acara ini akan menampilkan Raja-Raja Sungai di seluruh Sarawak bersaing bagi merebut gelaran ‘King of the Titans’ serta hadiah wang tunai bernilai RM30,000.
Penaung bersama Regatta Lingga 2025 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, Regatta Lingga bukan sekadar pertandingan sukan tradisional. Malah acara ini merupakan lambang warisan yang berakar umbi dalam budaya tempatan, sambil membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Kali ini, kami menjemput semua Raja-Raja Sungai untuk bersaing dengan semangat tinggi. Battle of Titan sudah diperkenalkan pada tahun 2023 di mana King of Titan pada edisi ini akan membawa pulang wang tunai RM30,000. Manakala Raja Sungai Regatta Lingga akan memenangi hadiah RM15,000.
“Kehadiran pasukan antarabangsa, termasuk Pekibar dari Brunei, bukan sahaja memberi saingan, malah memperkenalkan Regatta Lingga sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” jelas beliau.
Selain arena sukan tradisional, Regatta Lingga 2025 turut menjadi platform untuk menampilkan pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang sedang dan bakal dilaksanakan di daerah itu.
Antara projek penting yang bakal dimulakan dan dijangka siap menjelang tahun 2026/2027 ialah Seduku Benak Recreational Park, Visitor Terminal Building and Jetty at Gunung Lesong Ecotourism Complex, Gunung Lesong Ecotourism Complex, Visitors Terminal Building and Jetty at Banting dan Engkeranji, pembinaan Jalan Baharu Pesisir sepanjang 28.5km, penambahbaikan jalan Bakong–Lingga, pembangunan Waterfront Lingga Fasa Ke-2, pusat khidmat Lingga, dan Kompleks Sukan Lingga.
“Pembangunan ini bukan hanya bertujuan menambah baik kemudahan awam, tetapi juga meningkatkan peluang ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor pertanian dan perikanan, nadi utama kehidupan masyarakat Lingga,” tambahnya ketika dihubungi.
Beliau menekankan bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak dan kerajaan negeri, semua daerah di Sarawak dijangka terus melangkah ke arah pembangunan mampan.
“Marilah kita bersama-sama bersatu, bekerjasama, dan menyokong visi Sarawak menuju kelestarian dan kemakmuran yang dikongsi bersama,” ujarnya.
Regatta Lingga 2025 dijangka menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa, menjadikan ia bukan sahaja perayaan sukan dan budaya, tetapi juga platform memacu pembangunan ekonomi dan pelancongan di daerah Lingga.





