
KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis secara prinsipal menyokong usaha Kerajaan Persekutuan mengukuhkan kedudukan Malaysia di pasaran global melalui Perjanjian Timbal Balas Perdagangan atau ‘Agreement on Reciprocal Trade’ (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Perjanjian itu ditandatangani pada 26 Oktober 2025 oleh Perdana Menteri bersama Presiden Amerika Syarikat sebagai respons kepada tarif timbal balas yang dikenakan negara tersebut ke atas rakan dagang.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, sokongan negeri ini berkait rapat dengan potensi kerjasama ekonomi digital yang akan menyumbang kepada pengukuhan perdagangan negeri serta meningkatkan daya saing negeri itu.
Menurut beliau, limpahan ekonomi perjanjian tersebut dijangka memberi kesan langsung kepada pembangunan logistik negeri menerusi pelaksanaan projek strategik seperti ‘Perlis Inland Port’ dan ‘Chuping Valley Industrial Area’.
“Bagaimanapun, sebarang penerokaan, pembangunan atau pengurusan sumber mineral termasuk mineral nadir bumi (REE) adalah hak negeri seperti termaktub di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
“Ingin ditegaskan bahawa komitmen atau penyertaan dalam perjanjian antarabangsa serta Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan sektor mineral tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan jelas dan muktamad daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Megat Hashirat Hasan (Pauh-Bersatu) ketika Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shukri, setiap projek mineral mesti menjamin pulangan ekonomi yang munasabah kepada negeri merangkumi hasil langsung, peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan manfaat kepada penduduk setempat.
“Kerajaan Negeri juga tidak akan mempertimbangkan apa-apa model pelaburan berat sebelah atau pendekatan yang hanya memihak kepada pihak industri tanpa keuntungan seimbang kepada negeri.
“Mineral nadir bumi merupakan aset strategik jangka panjang Perlis dan kerajaan komited memastikan kekayaan bumi negeri diurus secara bertanggungjawab serta lestari,” jelasnya.





