
PUTRAJAYA – Penempatan semula pegawai perubatan dari ibu pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital dan klinik tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira padanan kompetensi, keperluan latihan semula serta penetapan tugas klinikal yang jelas.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, sebahagian doktor yang berkhidmat lama di ibu pejabat mungkin sudah lama tidak terlibat dalam amalan klinikal aktif, sekali gus menuntut persediaan rapi sebelum mereka kembali ditugaskan di lapangan.
“Atas dasar itu, hasrat kerajaan bagi memperkukuhkan penyampaian penjagaan kesihatan barisan hadapan melalui penempatan semula itu juga perlu dilaksanakan secara strategik dan bukannya menyeluruh.
“Sehubungan itu, meminta mereka untuk kembali menjalankan tugas klinikal bukanlah satu penyelesaian yang mudah. Latihan semula perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan pesakit dan kesinambungan perkhidmatan.
“Penempatan semula bukan sekadar pertukaran lokasi, ia merangkumi tanggungjawab klinikal dan operasi yang mesti dilaksanakan dengan teliti,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Thirunavukarasu berpendapat, pengoptimuman tenaga kerja adalah langkah yang tepat pada masanya, dan pengukuhan perkhidmatan yang lebih dekat dengan rakyat adalah keutamaan nasional.
Beliau berpandangan, keperluan untuk proses penempatan semula sedemukian dijalankan dengan telus dan dimaklumkan kepada umum bagi mengekalkan keyakinan masyarakat.

“Namun, isu terbabit tidak boleh dilihat terlalu mudah kerana walaupun terdapat peranan di peringkat ibu pejabat yang mungkin lebih sesuai untuk diperkasakan di fasiliti perkhidmatan, tetapi banyak fungsi di peringkat ibu pejabat KKM kekal penting bagi kestabilan sistem kesihatan.
“Perkara terbabit termasuk perancangan kesihatan awam, tadbir urus klinikal, latihan, kesihatan digital, pemantauan kualiti dan keselamatan, serta pembangunan dasar jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, MMA juga percaya bahawa prinsip yang sama perlu diterapkan jika berlaku penempatan pegawai perubatan dari hospital atau klinik ke peringkat ibu pejabat (KKM).
“Penempatan ke arah dasar dan pengurusan juga perlu mengambil kira padanan kompetensi yang baik serta komunikasi yang jelas agar tidak menjejaskan fungsi di peringkat perkhidmatan mahupun dasar,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dilaporkan berkata, kerajaan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui penempatan semula pegawai perubatan dan anggota polis di lokasi lebih memerlukan, sebagai sebahagian daripada agenda merakyatkan perkhidmatan.
Shamsul Azri dilaporkan berkata sebelum ini, sejumlah besar doktor pakar ditempatkan di ibu pejabat KKM dan bukannya di hospital atau klinik yang memerlukan kepakaran mereka.





