
TUN Dr Mahathir Mohamad didakwa cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada laporan antarabangsa mengenai kekayaannya berjumlah RM40 bilion dengan membawa naratif kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) menyebabkan Malaysia hilang kemerdekaan dan ditakluk Amerika Syarikat (AS).
Pemerhati politik, Ahmad Mursi berkata, dakwaan Mahathir itu tidak berasas kerana ART 2025 memperuntukkan klausa penarikan diri secara unilateral, sekali gus membolehkan Malaysia keluar pada bila-bila masa tanpa syarat tambahan.
“Selepas Yahoo Finance dedah kekayaan Mahathir RM40 bilion, Tun M heret pakcik-pakcik pencen yang dok berehat untuk jadi ‘bala tentera politik’ Tun M. Dia jual cerita kononnya Perjanjian ART 2025 sebabkan ‘Malaysia hilang kemerdekaan dan ditakluk oleh Amerika’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menjelaskan, Artikel 7.5 ART jelas membenarkan Malaysia keluar dengan notis bertulis enam bulan dan selepas keluar, semua komitmen terbatal.
“Tak perlu lagi beri layanan khas kepada syarikat AS. Perdagangan kembali kepada peraturan tarif asal yang Trump paksakan kepada seluruh dunia. Itu bukan bebas merdeka ke? Tak suka, hantar notis, keluar, tutup cerita. Ini bukan ‘janji setia hingga mati’ seperti yang Mahathir gambarkan,” jelasnya.
Ahmad Mursi menegaskan Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan apabila berdepan tarif 24 peratus terhadap hampir RM200 bilion eksport negara, yang boleh menjejaskan ekonomi dan jutaan pekerja.
“Sesiapa pun tak suka ‘sign’ perjanjian seperti ni tapi apa pilihan yang ada untuk ‘stop bleeding’ dari tarif 24 peratus Trump ke atas RM200 bilion export kita? Ini ancam ekonomi kita dan jutaan pekerjaan rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan banyak kandungan ART mengulangi komitmen yang telah dipersetujui Malaysia melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 1994-1995.
“Mahathir buat-buat lupa komitmen WTO tahun 1994-1995 perjanjian perdagangan multilateral paling komprehensif di dunia yang ikat komitmen Malaysia banyak perkara. Banyak dalam ART 2025 ulangi komitmen dalam WTO. ART ni 400 muka surat; WTO pula beribu-ribu muka surat perjanjian multilateral. Kalau ART ‘gadai negara’, habis tu WTO apa pula?” katanya.
Ahmad Mursi juga mengingatkan bahawa Mahathir sendiri memulakan kerangka awal hubungan perdagangan melalui Trade & Investment Framework Agreement (TIFA), yang membuka ruang kepada rundingan lanjutan dengan AS.
“Era Mahathir mulai kerja awal untuk TIFA yang buka pintu rasmi rundingan FTA dengan Amerika. Ironinya, isu yang Mahathir bising hari ini tentang syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Bumiputera, tarif dan layanan adalah isu sama yang dibahaskan masa rundingan FTA dulu,” tambahnya.
Beliau menafikan dakwaan Mahathir bahawa kerajaan menandatangani perjanjian pertahanan baharu dengan AS selepas ART, kerana kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan AS sudah lama wujud.
“Hakikatnya, kerjasama pertahanan Malaysia–AS dah lama wujud sejak zaman Mahathir lagi, Eksesais Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT), Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET), pertukaran pegawai dan bantuan teknikal ketenteraan.
“MoU pertahanan 2025 itu cuma ‘formalise’ apa yang dulu dibuat secara ‘ad-hoc’. Tiada sebarang syarat buka pangkalan atau jadi sekutu perang atau beli senjata AS seperti diwar-warkan. MoU pula disemak balik selepas lima tahun,” katanya.
Ahmad Mursi menegaskan rakyat tidak perlu digemparkan dengan naratif seolah-olah Malaysia ‘dijajah’ AS.
“Jadi, kita tak perlu ‘merdeka dari AS’. Kita perlu merdeka dari diperdaya pemimpin yang kumpul berbilion masa berkuasa,” tegasnya.









