KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggambarkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai watak penting dalam memastikan kelangsungan UMNO di Sabah.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Naib Presiden UMNO itu berkata, Allahyarham juga adalah individu yang memberikan kepercayaan penuh kepada beliau dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden sebelum ini.
“Tiada kata untuk menggambarkan apa yang saya rasakan ketika ini,” katanya.
Wan Rosdy turut menzahirkan rasa dukacita mendalam atas pemergian Bung Moktar yang juga antara individu terpenting dalam memastikan UMNO terus bertapak di Sabah.
“Pada saat parti berdepan cabaran dan ditinggalkan rakan-rakan politik lain suatu ketika dahulu, Allahyarham kekal teguh mempertahankan UMNO Sabah,” katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan hubungan persahabatan mereka terus erat, khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan lalu.
“Allahyarham adalah seorang pejuang yang tidak pernah menzahirkan kesakitan, selain daripada komitmen terhadap perjuangan politiknya.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham… sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham,” katanya.



