
KUCHING – Penjawat awam Sarawak bakal menikmati ganjaran terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila kerajaan Sarawak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji, sebagai penghargaan terhadap komitmen dan perkhidmatan mereka.
Pengumuman itu dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapan penggulungan beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada petang Rabu.
Menurut Abang Johari, BKK tersebut diberikan sebagai pengiktirafan kepada dedikasi penjawat awam yang menjadi tunjang kepada kejayaan pelbagai dasar serta program pembangunan negeri.
“Pembayaran itu akan dibuat bulan ini, berdasarkan gaji pokok terakhir bulan November 2025, dengan implikasi kewangan berjumlah RM131 juta.
Selain itu, kerajaan Sarawak turut menanggung implikasi kewangan sebanyak RM56 juta bagi kenaikan gaji fasa kedua SSPA sebanyak tujuh peratus yang berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Dalam masa sama, Abang Johari menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak melupakan sumbangan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak. Mereka turut menerima bantuan khas RM700 secara one-off, yang akan dibayar pada suku pertama 2026 dan melibatkan peruntukan sebanyak RM98 juta.
Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpin parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak mengetepikan golongan pesara perkhidmatan awam negeri apabila mengumumkan bantuan RM500 secara one-off kepada setiap pesara, dengan jumlah peruntukan RM50 juta.
Abang Johari berkata, insentif besar ini diharap memberi dorongan berterusan kepada penjawat awam untuk memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, sejajar aspirasi Sarawak menjadi negeri maju, berdaya saing dan inklusif.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




