
KOTA KINABALU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 menyaksikan perkembangan mengejutkan apabila DAP hampir pasti kehilangan semua kerusi yang pernah dikuasai parti itu, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat malam ini.
Setakat artikel ini dihasilkan, kiraan awal memperlihatkan hampir keseluruhan kubu parti itu kini beralih tangan kepada Warisan.
Jika keputusan awal itu disahkan, ia bakal menjadi buat julung kalinya sejak 2004 DAP tidak mempunyai sebarang wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Pada PRN 2020, DAP memenangi enam kerusi iaitu Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong, namun semuanya dilaporkan tumbang kepada Warisan kali ini.
Antara kekalahan terbesar ialah Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe yang tewas di Likas kepada calon Warisan, Tham Yun Fook. Timbalannya, Chan Foong Hin turut gagal merampas Tanjung Aru daripada penyandang merangkap Naib Presiden Warisan, Junz Wong.
Di Sandakan, penyandang DUN Elopura, Vivian Wong hilang kedudukan selepas ditewaskan calon Warisan, Calvin Chong. Di Sri Tanjong pula, Justin Wong dijangka kembali sebagai ADUN, namun bukan lagi atas tiket DAP sebaliknya Warisan selepas keluar parti pada penggal lalu.
Kubu tradisi DAP sejak 2013 turut menyaksikan kejatuhan. Di Kapayan, Jannie Lasimbang tewas kepada Chin Tek Ming, manakala calon baharu parti di Luyang, Chan Loong Wei tewas kepada Samuel Wong.
Pertaruhan DAP meletakkan muka baharu di Tanjong Papat juga tidak berhasil apabila Tang Szu Ching tewas kepada calon Warisan, Alex Thien.
Prestasi merosot DAP turut dikaitkan faktor perpecahan undi. Bekas Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon yang bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dilihat memecahkan undi tradisi parti itu di beberapa kawasan.
Sementara itu, di DUN Kemabong kawasan yang pernah ditandingi DAP pada 2020, bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual tewas kepada Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Rubin Balang.
PRN kali ini bukan sahaja mengubah peta politik DAP di Sabah malah membuka lembaran baharu yang menyaksikan dominasi Warisan semakin kukuh di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar yang sebelum ini sinonim dengan sokongan kepada DAP.


