
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hari ini menafikan pegawainya mengacukan senjata pada kepala ahli perniagaan, Albert Tei, ketika tangkapan dilakukan pagi tadi.
Katanya, tangkapan oleh pegawai SPRM di rumah ahli perniagaan berkenaan dilakukan mengikut prosedur yang sudah ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau mengesahkan pihaknya membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.
“Satu laporan polis dibuat pada hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan atas fitnah yang dibuat terhadap pegawai SPRM berkenaan.
“Laporan polis ini juga bagi memastikan tiada pihak tertentu menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pagi tadi, SPRM menyerbu kediaman ahli perniagaan Sabah, Albert Tei di Puchong, menurut peguamnya, Zaid Malek.
Zaid dalam satu kenyataan mendakwa, dia tidak dibenarkan bertemu dengan Tei oleh pegawai SPRM dan polis yang berada di kediaman ahli perniagaan itu.
Beliau turut berkongsi sebuah video yang memaparkan Tei diiringi oleh individu bersenjata yang memakai penutup muka (balaclava) dan ves SPRM.





