
KEPAYAN – Komitmen untuk memperkasa kebertanggungjawaban wakil rakyat menjadi antara manifestasi utama calon bebas gerakan ‘Black Wave’ bagi DUN Kepayan, Cyril Gerald Liew.
Beliau berpandangan, keperluan mewujudkan undang-undang membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digugurkan melalui petisyen pengundi sekiranya gagal menjalankan tanggungjawab.
Menurut beliau, iltizam itu bukan sekadar janji kempen, sebaliknya prinsip peribadi yang akan beliau pegang sekiranya diberi mandat oleh pengundi Kepayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kalau saya tak buat kerja dalam tempoh dua tahun saya mahu penduduk buat petisyen supaya saya dikeluarkan dan digugurkan sebagai wakil rakyat (jika menang di DUN Kepayan bagi PRN Sabah.
“Petisyen itu menetapkan syaratnya 40 peratus pengundi berdaftar menyokong petisyen tersebut bagi membolehkan seseorang ADUN digugurkan secara sah,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) selepas ceramah kelompok, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Cyril berkata, sistem politik negeri wajar memberi ruang kepada rakyat untuk mengadili prestasi wakil rakyat secara lebih terbuka dan segera, tanpa perlu menunggu sehingga pilihan raya berikutnya.
Katanya, langkah itu akan memberi isyarat jelas bahawa politik Sabah perlu bergerak ke arah budaya pertanggungjawaban yang lebih tegas, sekali gus mengembalikan kepercayaan pengundi terhadap institusi kerajaan.
“Kami dalam Black Wave, 17 calon keseluruhan berpegang pada prinsip yang sama. Rakyat berhak menukar wakil mereka jika individu itu tidak menjalankan tugas.
“Undang-undang tersebut bukan untuk menghukum, tetapi untuk memastikan mandat rakyat dihormati,” katanya.
Dalam pada itu, Cyril yang juga bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kepayan memaklumkan, perkhidmatannya kepada penduduk Kepayan tidak berhenti sekiranya beliau tidak dipilih sebagai wakil rakyat.
Jelasnya, pendekatan itu menunjukkan bahawa perjuangannya bukan bergantung kepada jawatan, tetapi kepada misi membetulkan cara politik negeri mendekati rakyat.
“Kalau saya tidak diberi mandat, penduduk tetap boleh telefon saya. Walaupun saya tidak dipilih dan tidak memegang jawatan, kita masih boleh berunding untuk angkat masalah kawasan ini agar dapat diselesaikan.
“Saya percaya kerja membantu masyarakat tidak sepatutnya bermula atau berakhir dengan keputusan pilihan raya,” katanya.




