KUANTAN – Gerakan ilmu bagi membina masyarakat berpengetahuan dan celik maklumat adalah antara teras utama penganjuran program Sentuhan Komuniti Bestari 2025.
Menerusi program itu, jalinan kerjasama antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dapat diperkukuhkan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, program berkenaan juga membuka ruang kepada warga desa mendekati pelbagai aktiviti pembelajaran, literasi digital dan pengembangan budaya.
“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada PNM dan juga PPAP kerana memilih perpustakaan desa Pulau Rusa sebagai lokasi program kali ini.
“Sudah tentu program seumpama ini dapat memberi impak besar kepada masyarakat setempat.
“Adalah menjadi hasrat kita semua agar (program) Sentuhan Komuniti Bestari menjadi asas penting dalam pembentukan bangsa maju, berminda kelas pertama,” katanya ketika berucap merasmikan program itu, di perkarangan perpustakaan desa Pulau Rusa, dekat sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan pembantu penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Saharuddin Ahmad.
![]()
Hadir sama Pengarah PPAP, Nor Zahira Muhammad Azmi dan Ketua Biro Kesihatan UMNO Bahagian Pekan, Dr Boi Saidi Abd Razak.
Program Sentuhan Komuniti Bestari 2025 Peringkat Kebangsaan dilancarkan pada September lalu, bermula di Kuala Krai, Kelantan.
Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy ketika melancarkan program itu memaklumkan, sebanyak 506 perpustakaan desa di seluruh negara akan menerima peruntukan RM100,000 pada tahun ini melalui program berkenaan.
Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin menjelaskan, program itu bukan hanya memberi fokus kepada peningkatan budaya membaca, namun memberi penekanan kepada literasi digital serta perpaduan komuniti secara inklusif dan menyeluruh.
“Perpustakaan bukan lagi sekadar tempat meminjam buku, tetapi menjadi medan kecerdasan komuniti dan pusat pembangunan modal insan.
“Ia menjadi ruang penting masyarakat membina ilmu, menguasai kemahiran baharu dan memahami ekosistem digital semasa,” katanya.



