KOTA KINABALU – Had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri merupakan antara tawaran digariskan Barisan Nasional (BN) dalam manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1).
Menerusi manifesto dibentangkan hari ini, langkah mengehadkan tempoh penggal itu, sebagai usaha memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam kepimpinan negeri.
“Reformasi ini bertujuan mengelakkan pemusatan kuasa terlalu lama kepada seseorang individu supaya membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih segar, dinamik dan berpaksikan kepentingan rakyat, dan memperkukuhkan prinsip demokrasi,” menurut manifesto itu.
Pembentangan manifesto itu dibuat Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak. Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.
Salleh berkata, BN Sabah juga konsisten menuntut 40 peratus hasil pendapatan yang diperoleh dari negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, tuntutan ini bukan sekadar janji politik, tetapi perjuangan berasaskan hak perlembagaan untuk memastikan Sabah menikmati pembangunan yang adil dan setara selaras dengan semangat Persekutuan.

“Memperjuangkan Sabah bukan hak mana-mana ahli politik, tapi perjuangan orang Sabah. Tapi parti politik harus memastikan hak orang Sabah itu terjamin.
“Prinsip kita, mana yang terambil dikembalikan, mana yang belum dilaksana, dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, katanya BN komited memperkukuh hak dan autonomi negeri melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memantau pelaksanaan terma-terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, jawatankuasa ini akan berperanan mengkaji dan menyemak semula undang-undang penting seperti Petroleum Development Act 1974, Akta Wilayah Laut 2012, dan Akta Perikanan 1985, supaya hak Sabah terus dipelihara.
“BN juga akan memperjuangkan semakan semula 35 peratus jumlah kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk Sabah dan Sarawak.
“Langkah ini penting bagi memastikan keseimbangan suara dan kepentingan Sabah dan Sarawak di peringkat persekutuan. BN komited mempertahankan hak politik dan kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia,” katanya.
Manifesto BN juga turut mencadangkan penambahan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bagi mewakili golongan minoriti di Sabah.
Langkah ini bertujuan memastikan setiap komuniti, tanpa mengira latar belakang mempunyai suara yang adil dalam proses penggubalan dasar negeri.






