ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 16 maut manakala tujuh lagi cedera dalam letupan dahsyat di sebuah kilang pembuatan gam di Faisalabad, Pakistan awal pagi semalam, menurut laporan media tempatan dan antarabangsa.
Letupan berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan di kawasan perindustrian Malikpur, terletak di barat Lahore, wilayah Punjab.
Menurut Al Jazeera, siasatan awal mendapati letupan berpunca akibat kebocoran gas di gudang bahan kimia kilang berkenaan, yang kemudiannya mencetuskan kebakaran besar dan meranapkan struktur bangunan serta beberapa rumah berhampiran.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan, pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.
Beberapa mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah puing bangunan.
Sementara itu, laporan Hindustan Times menyebut, pihak polis menahan pengurus kilang untuk siasatan lanjut, manakala pemilik kilang dilaporkan melarikan diri selepas kejadian.
Insiden ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan industri di Pakistan, khususnya dalam sektor perkilangan yang sering dikaitkan dengan pengabaian piawaian keselamatan dan penyelenggaraan peralatan.









