PUTATAN – Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Mohd Radzi Md Jidin enggan mengulas spekulasi bahawa beliau bakal menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Radzi yang ditemui selepas majlis pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) malam tadi menepis sebarang pertanyaan melibatkan spekulasi dalaman parti, sebaliknya meminta agar pengamal media menumpukan kepada agenda PN di Sabah.
“Ini tak payah tanya. Malam ini soalan tawaran sahaja,” katanya ringkas kepada sebelum beredar meninggalkan program pelancaran manifesto PN di Dataran Pomoi, pada Jumaat.
Keengganan Ahli Parlimen Putrajaya itu mencetuskan perhatian media memandangkan desas-desus mengenai kedudukan Hamzah kembali hangat apabila beliau tidak kelihatan pada majlis penting PN tersebut.
Pertikaian dalaman Bersatu dilihat bermula selepas pemilihan parti 2024, apabila persaingan jawatan utama mencetuskan pembahagian kem dalam parti.sehingga beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen digantung serta dipecat disebabkan kononnya tidak sealiran dengan pucuk pimpinan.
Pada masa sama, terdapat laporan mendakwa wujud gerakan dalaman yang menolak kepimpinan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang kerana dikatakan beliau gagal menyatukan blok pembangkang dan tidak mampu memberi impak besar di peringkat nasional.
Bagaimanapun, Hamzah sebelum ini menafikan kewujudan gerakan untuk menyingkirkan beliau sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai propaganda pihak luar yang mahu memecahbelahkan PN.
Difahamkan juga beberapa draf cadangan dalaman yang mencadangkan pertukaran Ketua Pembangkang turut didakwa wujud, namun perkara itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh beberapa pemimpin parti tersebut.







