Siasatan video rasuah ADUN Sabah masih berjalan – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan terhadap kes rasuah yang dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah melalui video tular masih diteruskan dan belum ditutup, sekali gus menafikan dakwaan bahawa kerajaan melindungi mana-mana pihak terbabit.

Beliau menekankan bahawa perkara itu sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menolak dakwaan kononnya kerajaan melindungi mana-mana pihak terbabit.

“Menurut pemberitahuan SPRM, (kes itu) sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Setakat ini, (untuk) kes jenayah, dia tak ada ‘time limitation’ (had masa), jadi kena sabar.

“Setakat ini tiga individu sudah didakwa (berhubung kes itu), tetapi kita tidak lepaskan semua yang lain. (Persoalan) mengapa ada dakwa tiga, kerana (mereka) ada ‘compelling case’ (kes yang meyakinkan)… tetapi yang lain, kes mereka tidak pernah dipadam atau ditutup,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status dakwaan kes rasuah yang membabitkan beberapa ADUN Sabah yang dikaitkan dalam video tular sebelum ini, yang belum dikenakan tindakan, sebaliknya ada antara mereka kini menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak mahu mencampuri urusan siasatan dengan mengarahkan supaya kes itu didakwa berdasarkan video yang tular.

“Saya tidak mahu mengarahkan. Mesti dakwa (mereka) berdasarkan video (yang tular itu)… saya tak boleh (buat begitu).

“Ini yang kadang-kadang diputar balik kenyataan saya,” katanya.

Sebelum ini, ahli perniagaan, Albert Tei mengeluarkan beberapa video yang memaparkan ADUN Sabah didakwa menerima rasuah untuk memudahkan usahanya mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Tei turut mengemukakan lebih daripada 300 muka surat bukti kepada SPRM, termasuk jejak wang, rekod bank, dokumen dan surat-menyurat bertulis sebagai bukti untuk menyokong dakwaan dalam video tersebut.

Daripada 14 ahli politik Sabah yang terbabit dalam video Tei, hanya dua sudah didakwa dengan rasuah.

Mengulas dakwaan kononnya kerajaan melindungi pemimpin tertentu kerana hubungan politik, Perdana Menteri menegaskan dua individu yang sudah didakwa adalah daripada parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dua didakwa itu orang dalam parti Kerajaan Perpaduan. Jadi bukan kita melindungi. Tapi apa yang harus Perdana Menteri lakukan… beri arahan yang kukuh, jangan kecualikan sesiapa, tapi (mesti ada) bukti yang kuat,” katanya.

Ditanya sama ada akan ada pertuduhan susulan atau tidak dalam kes itu, Perdana Menteri berkata ia bergantung sepenuhnya kepada penemuan siasatan pihak berkuasa.

“Apakah yang lain akan didakwa kemudian… itu saya tidak tahu. Pokoknya, (kes ini) belum dipadam. Belum ditutup kes mereka. Daripada maklumat sampai kepada saya, belum,” katanya.

Related Posts

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

KUANTAN – Cadangan operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak seimbang antara pengangkutan kargo dan penumpang dibimbangi tidak dapat memberi manfaat signifikan kepada orang ramai. Menteri Besar Pahang,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti keprihatinan terhadap pembangunan negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM