
PENSIANGAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Datin Rufinah Pengeran, sambil menyifatkan keterlibatannya di peringkat akar umbi sebagai contoh kerjasama politik yang matang dan penting bagi membawa perubahan di kawasan tersebut.
Katanya, tujuan utama beliau hadir ke Tulid adalah untuk menjelaskan kepentingan memilih wakil rakyat yang boleh bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk Rufinah di Tulid.
“Saya lihat semangat dan perpaduan begitu baik, saya ucap terima kasih kepada Rufinah, calon kita datang mesti datang.
“Saya datang di sini untuk menyatakan sokongan dan minta kawan-kawan di sini faham mengapa kita mahu memilih calon yang boleh kerjasama dengan kita, Rufinah di Tulid,” katanya semasa berucap dalam Program Ramah Mesra PMX Sayang Sabah bersama Pimpinan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, di Kampung Menawo, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan bahawa pembangunan di Sabah termasuk isu air, elektrik dan infrastruktur, hanya dapat dilaksanakan dengan lebih cepat jika wujud kerjasama antara pemimpin tempatan dan kerajaan pusat.
Beliau menjelaskan bahawa Rufinah merupakan individu yang mampu membantu memastikan projek pembangunan berjalan lancar di Tulid.
“Kalau Rufinah menang, saya percaya dia boleh bantu selesaikan masalah, bukan sahaja di sini tetapi juga di kawasan sekitar,” katanya.
Katanya lagi, kemenangan Rufinah akan memberikan kedudukan lebih kuat untuk membawa suara penduduk Tulid ke peringkat Persekutuan.
Dalam ucapannya, Anwar turut membidas gaya politik yang menghasut perpecahan dan mengajak masyarakat membenci satu sama lain.
Tambahnya, walaupun kenyataan itu bersifat umum, ia ditekankan sebagai peringatan penting dalam memilih pemimpin yang bertanggungjawab seperti Rufinah, yang dilihat membawa pendekatan damai dan kerja bersama.
“Saya bukan datang nak gaduh, rakyat mesti dibantu,” katanya.
Anwar turut menyentuh tentang masalah air, elektrik serta peruntukan pembangunan Sabah yang telah diluluskan sejak dua tahun lalu, dan percaya Rufinah akan menjadi rakan penting dalam memantau pelaksanaan projek tersebut di peringkat lapangan.
“Saya bagi tahu Rufinah, saya tak boleh umum apa-apa hari ini sebab peraturan kempen, tapi percaya selagi Kerajaan MADANI memerintah, kita akan buat sedaya upaya,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menekankan bahawa Sabah memerlukan kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Jelasnya, hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan mesti terjalin dengan baik kerana ia menentukan keberhasilan pembangunan.
“Kalau nak bangunkan negeri, kerjasama Negeri dan Persekutuan itu mesti baik. Ada kempen asyik ajak lawan suku kaum, negeri ini lawan negeri.
“Yang untung siapa? Pemimpin besar itu kaya-kaya, rakyat susah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru pengundi Tulid memberi mandat kepada Rufinah demi kesinambungan pembangunan dan masa depan generasi muda.
“Ini your future. Your future jangan gadai, Kalau Rufinah menang, saya percaya dia boleh menang dan kedudukannya akan lebih baik,” katanya.





