
KUCHING – Seorang pengawal keselamatan lelaki berusia 55 tahun cedera selepas dipukul oleh rakan sekerjanya di pos lobi Hospital Umum Sarawak (HUS) awal pagi Isnin lalu.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira 4.00 pagi pada 10 November lalu apabila suspek, seorang lelaki berusia 29 tahun, menyerang mangsa dari arah belakang menggunakan sebatang cota kayu.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala sehingga memerlukan lapan jahitan serta patah ibu jari tangan kanan, sebelum menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, polis mendapati insiden berkenaan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berhubung hutang peribadi antara kedua-dua pihak.
“Suspek berjaya ditahan pada hari yang sama dan kini direman sehingga 15 November ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar menyelesaikan sebarang pertikaian secara aman dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain.
Foto: Facebook Polis Daerah Kuching





