
BAU – Lima lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau pada Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang dijalankan antara jam 12.10 tengah hari hingga 4.25 petang itu melibatkan Op Tapis Khas dan Op Waran Tangkap Bersepadu di sekitar Bau.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima suspek positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.
“Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seorang daripada mereka turut mempunyai waran tangkap yang masih berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Haide menegaskan pihak polis memandang serius sebarang penglibatan individu dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.





