
PUTRAJAYA – Penyertaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyertai semula gelanggang politik bersama UMNO dalam masa terdekat hanyalah spekulasi.
Sumber UMNO memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM masih belum menghantar borang permohonan bagi menyertai parti tersebut.
Namun, katanya, walaupun tidak akan kembali dalam tempoh terdekat, Khairy telah menyatakan keinginan menyertai semula parti itu, selepas dipecat pada Januari 2023.
“Memang benar beliau (Khairy) ada menyatakan hasrat untuk bersama UMNO namun setakat ini parti tidak menerima apa-apa maklumat atau borang permohonan memasuki UMNO daripadanya.
“Khairy pernah menyebut beliau tidak akan menyertai parti lain kerana sayangkan kepada UMNO namun selagi tiada permohonan dibuat, ini hanyalah spekulasi,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Dalam pada itu, sumber berkata, UMNO sentiasa terbuka kepada Khairy sekiranya beliau benar-benar berhasrat kembali ke pangkuan parti namun segala proses perlu mengikuti saluran rasmi.
“UMNO tidak pernah menutup ruang kepada mana-mana bekas pemimpin yang ingin kembali berjuang bersama parti, selagi proses dan syarat parti dipatuhi.
“Jika ini hasrat yang diluahkan oleh beliau, kita sentiasa terbuka menunggu permohonon rasmi untuknya menyertai semula bersama UMNO,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Khairy dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan depan, selain dikatakan mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Penyertaan semula bekas Ahli Parlimen Rembau itu dilihat berpotensi memberi suntikan baharu kepada usaha UMNO mengembalikan sokongan terutama dalam kalangan pengundi muda.
Khairy dipecat daripada parti pada Januari 2023 selepas lantang mengkritik kepimpinan parti ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun, sejak itu beliau berkali-kali menyatakan tidak berminat menyertai parti lain kerana masih mempunyai kesetiaan terhadap UMNO.
Pada PRU15, Khairy yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh tewas, namun berjaya memberi saingan sengit dan meraih sokongan ketara dalam kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).




