Guna perkataan menghina: MP kerajaan saran Awang Hashim dikenakan tindakan

BEBERAPA Ahli Parlimen penyokong kerajaan menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) berhubung dakwaan penggunaan perkataan yang menghina serta bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan ketika sesi penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mendakwa, Awang dengan sengaja beberapa kali menyebut perkataan ‘Hulu Laknat’ semasa berucap di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa perkataan tersebut difahami membawa maksud menghina dan secara jelas merujuk kepada Hulu Langat, iaitu sebuah daerah di Selangor yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor untuk digunakan secara rasmi dalam urusan pentadbiran dan perundangan negeri.

“Tindakan YB Pendang ini bukan sahaja mencemar baik Hulu Langat dan rakyatnya, malah turut dianggap menghina naungan dan pemerintahan Sultan Selangor.

“Ia amat tidak wajar, tidak beradab dan bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan serta tatakelakuan seorang Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat.

“Laknat ini kalau disebut dalam al-Quran, Allah sebut pada syaitan, iblis (dan) Firaun. Adakah (ia juga) disebut kepada 1.5 juta warga Hulu Langat?” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Selain Mohd Sany, beberapa Ahli Parlimen lain turut menyuarakan pendirian sama, termasuk Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka), Syahredzan Johan (PH–Bangi), Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading), Azli Yusof (PH–Shah Alam), dan Suhaizan Kaiat (PH–Pulai).

Sementara itu, Poay Tiong mendakwa Awang sebelum ini turut menyebut ‘Kota Celaka’ bagi merujuk kepada Kota Melaka ketika bersidang di Dewan Rakyat pada 15 Oktober lalu.

“Kita mengkritik sekeras-kerasnya perbuatan Ahli Parlimen Pendang berkenaan.

“Apabila saya balik ke kawasan penduduk dan juga pengundi di kawasan saya, mereka mengatakan tidak puas hati dan marah terhadap apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pendang.

“Kita harap supaya Tan Sri Speaker dapat menerima usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sany memaklumkan bahawa usul rasmi telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pagi tadi bagi membolehkan perkara tersebut disiasat dengan segera dan tindakan sewajarnya diambil.

“Dalam usul, saya mencadangkan Ahli Parlimen Pendang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk siasatan lanjut, selaras dengan Peraturan 36(10)(a) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ini kerana ucapan beliau jelas membawa maksud menghina dan tidak berpatutan diucapkan oleh seorang Ahli Yang Berhormat,” tegasnya.

Related Posts

RCI Tabung Haji: YADIM sokong titah Yang Di-Pertuan Agong siasat tanpa kompromi

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disiasat secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Zakat pendeposit Tabung Haji dilunaskan secara sah mengikut syarak

PUTRAJAYA – Penggunaan kontrak Wadiah Yad Dhamanah oleh Tabung Haji pada 2016 sehingga 2019 merupakan konsep zakat perniagaan secara khultah terhadap keseluruhan dana pendeposit yang dihimpunkan dan diuruskan oleh institusi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Peranan masjid perlu diperluas sebagai pusat pembangunan ummah

Peranan masjid perlu diperluas sebagai pusat pembangunan ummah

RCI Tabung Haji: YADIM sokong titah Yang Di-Pertuan Agong siasat tanpa kompromi

RCI Tabung Haji: YADIM sokong titah Yang Di-Pertuan Agong siasat tanpa kompromi

Lebih RM100,000 diperuntuk bagi kajian sistem perkhidmatan bas

Lebih RM100,000 diperuntuk bagi kajian sistem perkhidmatan bas

Buktikan kemampuan di tempat lawan, Sarawak sasar tawan SUKMA Selangor 2026

Buktikan kemampuan di tempat lawan, Sarawak sasar tawan SUKMA Selangor 2026

Selesai segera isu keperluan rakyat melalui projek ‘low-hanging fruits’ – Hajiji

  • By Fatin
  • August 10, 2026
Selesai segera isu keperluan rakyat melalui projek ‘low-hanging fruits’ – Hajiji

Zakat pendeposit Tabung Haji dilunaskan secara sah mengikut syarak

Zakat pendeposit Tabung Haji dilunaskan secara sah mengikut syarak